Perjalanan kerjaya F.T._Island

2007: Debut dan pelancaran album

Walaupun album pertama kumpulan F.T. Island, Cheerful Sensibility (Perasaan Ceria) dijadualkan untuk dilancarkan secara komersil pada Mei 2007, mereka telah muncul dalam sebuah rancangan iaitu "Ingin Jadi Teman Lelakiku?" (tajuk asal: 두근두근 여친만들기) di sebuah saluran televisyen Korea, Mnet. Band ini telah mengadakan persembahan secara langsung di Rolling Hall serta secara rasmi di Live House Melon-AX, Gwangjang-dong di Seoul pada 27 Mei 2007.[5]

Pada 7 Jun, F.T. Island mempersembahkan lagu debut mereka "Mabuk Cinta" (tajuk asal: 사랑앓이) dalam program muzik televisyen terkenal, M!Countdown dan album Cheerful Sensibility juga dilancarkan pada hari yang sama. Walaupun usia mereka ketika itu masih muda, namun mereka telah memikat hati pendengar muzik muda mahupun yang tua dengan muzik mereka serta mereka telah mendapat gelaran band 'Jejaka Bunga' (Flower Boy). Lagu debut band ini telah mencapai kejayaan yang membanggakan apabila lagu mereka itu berada di kedudukan yang tinggi dalam kebanyakan carta muzik popular selama 8 minggu berturut-turut di Korea Selatan. Mereka juga mendapat tempat pertama dalam rancangan muzik M!Countdown mengalahkan seniman terkenal ketika itu iaitu Dynamic Duo dan Fly to the Sky selepas dua minggu penampilan sulung mereka.[3] Terjual sebanyak 79,000 salinan pada 2007, album itu merupakan album jualan keenam terbaik pada tahun itu.[6] Album tersebut dilancarkan semula pada 3 Disember dengan tajuk The Refreshment (Kesegaran) yang terdiri daripada tiga lagu baharu, buku foto, kad gambar dan program campuran yang dikenali sebagai Muzik 2.0. Program ini membolehkan seseorang itu untuk melaraskan tahap instrumen dan vokal mengikut kesesuaian. Album ini pula terjual sebanyak 25,724 salinan pada bulan yang sama.[6]

2008: Penampilan sulung di Jepun dan album Colorful Sensibility

Setelah melakukan penampilan pertama di Korea, pihak FNC Music telah menggerakkan aktiviti F.T. Island di luar negara. Pada 31 Mac 2008, sesi autograf di Malaysia telah diadakan di Damansara Cineleisure dan diikuti oleh konsert pertama di Sunway Lagoon Amphitheater. [7]Walau bagaimanapun, konsert tersebut telah dibatalkan dan sebaliknya telah diadakan di Siam Paragon, Thailand pada 12 April. Band ini telah mempersembahkan lagu-lagu daripada album mereka dan menunjukkan bakat masing-masing dalam persembahan solo.[8]

Album mini bahasa Jepun pertama F.T. Island iaitu Prologue of FTISLAND –Soyogi– (Prolog F.T. Island: Soyogi) telah dilancarkan pada 7 Jun 2008 dengan single yang diperkenalkan iaitu "Soyogi". Album tersebut mengandungi lapan buah lagu dimana dua daripadanya iaitu "FT Island" (Pulau FT) dan "Primadonna" (Primadona) telah diubah menjadi versi baharu. Runut lagu terakhir, "Always Be Mine" (Sentiasa Milikku) adalah versi lagu bahasa Inggeris untuk lagu "Ciuman Pertama" (tajuk asal: 첫키스, Cheot Kiss) yang diambil daripada album debut band ini. Video muzik untuk runut "Soyogi" dan "Friendship" (Persahabatan) juga dilancarkan dimana video ini memaparkan sisi pemuda dan profesionalisme band ini.

Setelah aktiviti promosi di Jepun berakhir, band ini telah kembali ke Korea dan seterusnya melancarkan album kedua mereka iaitu Colorful Sensibility (Perasaan Berwarna-warni) pada 27 Ogos 2008. Album mini seterusnya iaitu Colorful Sensibility Part 2 pula dikeluarkan pada 17 Oktober tahun yang sama.

2009: Perubahan dan diskografi baharu

Pada 28 Januari 2009, Oh Won-bin telah disahkan keluar daripada F.T. Island serta digantikan dengan pelatih FNC, Song Seung-hyun sebagai pemain gitar dan vokalis sandaran. Dengan pelbagai perubahan baharu, band ini telah melancarkan video muzik untuk lagu daripada album mini pertama mereka iaitu "Perempuan Jahat" (tajuk asal: 나쁜 여자야 Nappeun Yeojaya).

Berkaitan